KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan terdapat segelintir pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana tidak mengendahkan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022.

Perdana Menteri berkata, sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang menyebabkan hujan lebat telah diberikan oleh jabatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkaitan didakwa hanya mengandaikan negeri-negeri pantai timur semenanjung Malaysia sahaja yang akan terjejas akibat banjir.

"MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat, namun amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana andaian iaitu hanya negeri-negeri pantai timur semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir, yang dibawa oleh hujan lebat oleh luluran monsun.

"Persediaan musim tengkujuh juga banyak tertumpu di negeri-negeri di pantai timur dan banjir luar biasa di Selangor adalah berlaku di luar jangkaan banyak pihak.

"Banjir di Selangor bermula pada 18 Disember 2021 telah berlalu akibat jumlah purata hujan luar biasa iaitu 380 milliter pada hari tersebut, yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

"Pada masa yang sama kejadian air pasang menyebabkan keadaan bertambah buruk," kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Perdana Menteri berkata demikian ketika penerangan berkenaan Situasi Bencana Banjir Penghujung Tahun 2021 di Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggnl Keempat di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri menambah MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kategori merah iaitu bahaya pada 8 Disember 2021.


BERITA LANJUT MENYUSUL..