KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon serba boleh, Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.

Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.

"Allahuakbar sedihnya, terkejut dapat berita ni. Sahabat kita yang versatile Adibah Noor @adibahnoormohdomar, baru sahaja meninggal dunia," katanya dalam muat naik sekitar jam 8 malam.

Selebriti dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar itu berusia 51 tahun.

Pada minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.

Namun, dalam temu bual bersama wartawan, Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat semenjak bulan Ramadan lalu.

Memetik laporan Berita Harian, rakan seperjuangan Allahyarham dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan, Ani Mayuni memaklumkan terpaksa menghormati permintaan arwah untuk tidak mendedahkan keadaan kesihatannya.

Menurut Ani, selepas selesai GV8, Allahyarham mula kerap sakit.

"Kemudiannya, arwah ditahan di hospital. Saya ingatkan arwah lama tak keluar disebabkan pandemik COVID-19.

"Apabila saya bertanya secara peribadi, barulah arwah beritahu mempunyai kanser ovari dan dan baru selesai menjalani pembedahan," katanya seperti yang dipetik dari portal berkenaan.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat pada jam 9 pagi esok, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar jam 10.30 pagi.

Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005  filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

Sepanjang hayatnya juga, Adibah dikenali sebagai individu yang senang mendekati pengikut dan peminatnya menerusi platform media sosial. Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.