KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak yang tular di media sosial menerusi videonya melucukan sambil memberi nasihat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Tawau awal pagi Khamis.

Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berusia lapan tahun itu meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menerusi video penstriman langsung yang dikongsikan menerusi akaun Facebook bernama "Muhd Aming", kelihatan jenazah kanak-kanak itu sedang diuruskan keluarganya.

Jenazah Aming kemudiannya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Titingan, Tawau.

Astro AWANI cuba mendapatkan respon keluarga tentang pemergian Aming.

Terdahulu, celoteh Aming tular di media sosial menerusi video-video pendek yang disifatkan sebagai comel dengan kepetahannya menyampaikan nasihat dalam loghat Sabah.

Malah, pada 23 Januari lalu, salah satu daripada videonya telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu merangkap Menteri Kanan (Keselamatan).

Ismail Sabri telah memuat naik semula video Aming yang memberi nasihat mengenai pematuhan SOP di laman Facebook milik beliau.