KOTA BHARU: Tokoh ulama dan pendakwah, Ustaz Nik Razi Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar pukul 8 pagi Isnin di rumahnya di Pulau Melaka, di sini.

Berita duka pemergian Nik Razi Nik Mat yang juga adik bongsu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikongi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam catatan di akaun Facebook beliau, hari ini.

"Berita duka kembalinya menemui pencipta tokoh ulama Kelantan Tuan Guru Nik Razi Nik Mat pada pagi ini 26 Ramadan 1444H setelah diuji sakit terlantar hampir 4 bulan.

"Almarhum yang juga merupakan adinda kepada Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan takziah kepada ahli keluarganya Allahyarham Tuan Guru. Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampunkan dan merahmatinya di sisi para solehin,” tulisnya.

Sebelum ini, Allahyarham yang juga Bendahari Dewan Ulama Pas Kelantan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan dibawa pulang ke rumah bulan lalu.

Difsahammkan, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan dikenali sebagai pendakwah yang cukup gigih khususnya dalam membangunkan institusi pendidikan Islam.

Allahyarham Nik Razi juga merupakan bekas pensyarah Pondok Kandis Bachok dan bekas pengetua Maahad Muhammadi Lelaki.