Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat pada 12.20 pagi tadi.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam satu kenyataan pagi ini berkata, Almarhum baginda mangkat di di Hospital Pantai Ipoh, Perak.

Kenyataan tersebut turut menyebut tempoh berkabung selama tujuh hari mulai 21 Mei hingga 27 Mei di mana bendera negeri, persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang untuk tiga hari bermula hari ini.

Semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan juga dibatalkan sepanjang tempoh berkabung.

Cuti peristiwa turut diumumkan bagi seluruh negeri Kedah sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit mulai 1 petang hingga 3 petang sebelum dimakamkan di Makam Diraja, Langgar, Kedah selepas solat asar.

Jenazah Almarhum Tunku Annuar sebelum itu akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit.

Menurut Mukhriz, jenazah Almarhum akan dibawa melalui Jalan Sultanah, Jalan Titi Gajah, Jalan Hutan Kampung, Jalan Langgar dan terus ke makam.