KOTA BHARU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan berusia 50 tahun kerugian RM84,529 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Mangsa menyedari telah diperdaya dalam urusan penyamaran melalui panggilan telefon pagi semalam seleoas memeriksa baki akaun di Bank Islam dan Bank Muamalat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa sebelum itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki.

Menurutnya, suspek mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sambil memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM52,900.

Katanya, ia membabitkan cukai terkumpul disebabkan kemasukan wang tunai RM200,000 kepada akaun syarikat didakwa milik mangsa, namun perkara itu dinafikan oleh ADUN terbabit.

"Susulan itu, suspek menyuruh mangsa membuat laporan polis sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"AdUN berkenaan kemudian diminta mengesahkan segala pemindahan wang terbabit adalah tidak benar sebelum talian disambung kepada seorang wanita kononnya pegawai dari JSJK Melaka bergelar Datuk," katanya menerusi kenyataan media, di sini

Katanya, ketika perbualan berlangsung, mangsa diminta membuat pengesahan akaun miliknya dengan mengisi pautan Bank Negara yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, pada 10 April sekitar  jam lebih kurang 10:30 pagi,  ADUN terbabit telah pergi ke Bank Islam Kota Bahru untuk menyemak baki akaun dan membuat kad baharu.

"ADUN terbabit dimaklumkan oleh pegawai bank bahawa baki akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM 71,480.

"Mangsa juga telah ke Bank Muamalat Kota Bahru untuk membuat kad bank yang baru dan telah dimaklumkan bahawa baki di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM13,049 melalui dua pengeluaran iaitu pada 9 April jam 5.36 petang dan RM9,999 dan RM3,050 juga pada hari sama sekitar jam 5.40 petang," katamya lagi.

Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh ADUN berkenaan ialah RM84,529.