PERAI: Polis menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang pada Khamis.

Wakil rakyat berusia 54 tahun itu ditahan selepas ujian saringan awal air kencing ke atasnya didapati positif dadah.

Beliau antara 36 individu yang diperiksa dalam serbuan di pusat karaoke bermula kira-kira jam 9 malam tersebut.

ADUN berkenaan direman sehari bagi membantu siasatan, dan dimaklumkan telah dibebaskan dengan jaminan petang ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang , Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.