ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar disahkan positif COVID-19 pada ujian calitan yang dilakukan Khamis lalu.

Sementara, tiga lagi ADUN iaitu ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong pula diarahkan menjalani kuarantin.

Mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini seramai 50 ADUN menghadirinya.

Menurut  dua lagi ADUN yang memaklumkan tidak dapat hadir ialah bekas Perdana Menteri yang juga ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Suhaizan berkata, DUN Johor mewajibkan semua ADUN termasuk petugas media yang hadir ke Bangunan Sultan Ismail diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) setiap hari sehingga persidangan berakhir.

Persidangan DUN Johor bermula pada Ahad hingga Rabu ini dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi membendung penularan COVID-19.

BACA: Semua wakil rakyat Johor perlu jalani ujian RTK setiap hari sepanjang sidang DUN

Minggu lalu, media melaporkan kesemua 56 ADUN Johor wajib menjalani ujian saringan COVID-19 RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN Johor yang bersambung semula 22 Ogos ini.

SOP itu adalah menepati apa yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan berlaku di Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan dewan persidangan.