KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu membawa keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, pada 2020, sebagai asas untuk mengenepikan keputusan timbang tara antarabangsa, berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Pensyarah Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia Noorfajri Ismail berkata, penghakiman oleh Hakim Datuk Mairin Idang tersebut perlu dikekalkan di Mahkamah Tinggi Madrid, untuk mengenepikan pengkuatkuasaan Timbang Tara Sepanyol.

Ini, jelasnya lagi, akan memberikan kesan langsung untuk Mahkamah Rayuan di Paris menghentikan pengiktirafan dan penguatkuasaan penganugerahanTimbang Tara tersebut..

Sekiranya pihak AGC tidak melakukan tindakan lanjut, beliau berkata, berkemungkinan besar aset lain milik Malaysia akan terdedah kepada risiko tindakan penguatkuasaan timbang tara tersebut, yang berpihak kepada waris Kesultanan Sulu.

“Walaupun terdapat elemen undang-undang antarabangsa dalam timbang tara, kita dapat lihat juga dalam konteks undang-undang domestik, jika sesuatu perkara pertikaian itu melibatkan konteks kedaulatan tanah air sebagai contoh, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dibawa ke timbang tara. Ini kita panggil sebagai non-arbitrability.

‘Dalam konteks ini kita katakan bahawa Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) perlu membawa keputusan Mahkamah Tinggi KK, yang diputuskan pada 2020 untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan di Mahkamah Rayuan Sepanyol, bagi tujuan mengenepikan, serta tidak mengiktiraf penguatkuasaan keputusan daripada timbang tara tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Dua aset Petronas dirampas Waris Kesultanan Sulu - Laporan 

BACA: Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan Sulu 

BACA: Tindakan kerajaan tangani isu rampasan dua aset Petronas dipersoal 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pasukan peguam wakil Kerajaan Sulu, yang didakwa telah merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg - Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Media sebelum ini melaporkan, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu Petronas dalam kenyataan susulan pada Selasa mengesahkan rampasan tersebut, namun menegaskan telah melupuskan semua aset di Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

Petronas juga menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal tersebut.

Menerangkan dengan lebih lanjut, Noorfajri berkata, keputusan Hakim Mairin pada 2020 telah memutuskan tiga perkara penting, yang perlu dijadikan asas untuk menolak keabsahan tuntutan wakil Kerajaan Sulu.

“Pertama, tidak ada satu klausa perjanjian yang boleh dikuatkuasakan berkaitan Surat Ikatan Pemberhentian ini, yang membolehkan Kesultanan Sulu membawa tindakan kepada timbang tara.

“Kedua, kerajaan Malaysia tidak pernah pada bila-bila masa menarik kembali, atau menafikan kedaulatan negara. Dan ini membawa kesan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat sejak 1963, apabila Sabah masuk ke Malaysia, maka dengan kedaulatan itu, Malaysia ada kekebalan (imuniti) dalam aspek undang-undang antarabangsa.

“Oleh kerana itu, Malaysia tidak boleh diheret ke mana-mana timbang tara, antarabangsa, dalam konteks ini,” katanya lagi.

Tambahan pula, jelas Noorfajri lagi, perjanjian yang dikatakan dituntut waris Kesultanan Sulu itu, bukan satu perjanjian komersial, dan juga bukan perjanjian melibatkan perniagaan.

Katanya lagi, ia melibatkan perjanjian tunggakan pembayaran apabila kedaulatan tanah mereka diserahkan kepada British oleh Kesultanan Sulu sendiri.

Dan perkara ketiga, kata Noorfajri, apabila berlaku satu pertikaian, sepatutnya yang menjadi forum pertikaian itu dirujuk adalah Mahkamah Tinggi di Sabah.

“Kerana Mahkamah Tinggi Sabah merupakan mahkamah tinggi yang bebas, dan merupakan forum yang bersesuaian bagi menentukan pertikaian ini.

“Ini kita dapat lihat dalam perjanjian itu sendiri, yang mana telah disahkan dalam kes pada 1939, yang mana mahkamah mendapati bahawa Kesultanan Sulu telah menyerahkan isu berkaitan pertikaian ini dalam bidang kuasa mahkamah tempatan iaitu mahkamah Malaysia,” tambahnya.