KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.

Susulan itu, baginda akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

"Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

"Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan," katanya.

BACA: Agong nasihat rakyat tenang, sabar, jangan spekulasi

BACA: Darurat tidak semestinya dilaksanakan di seluruh negara - Prof Dr Mohd Azizuddin

BACA: Lihat sentimen rakyat sebelum pertimbang isytihar darurat - Dr Jeniri

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5 petang semalam.

Sesi menghadap tersebut dimohon Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya," katanya.

Semalam, spekulasi tersebar, kerajaan bakal mengisytiharkan darurat susulan mesyuarat khas tersebut, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu

BACA: Mungkinkah kerajaan akan isytihar darurat kesihatan?

BACA: Darurat: Jangan cepat menghukum - Annuar

Semua menteri dilihat berdiam diri mengenai isu yang dibincangkan pada mesyuarat yang berlangsung dua hari selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada Rabu.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan, sesetengah organisasi media membuat spekulasi kemungkinan langkah darurat diambil di tengah-tengah ketidaktentuan politik negara serta penularan COVID-19.

Spekulasi tersebut juga dibincangkan secara meluas oleh netizen, termasuk kemungkinan rombakan kabinet.

Desas-desus semakin bertiup kencang apabila Muhyiddin dan Affendi kemudiannya berlepas ke Pahang untuk menghadap Al-Sultan Abdullah.