KUALA LUMPUR: Kuasa bagi memanggil sidang Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa memerlukan nasihat Perdana Menteri, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, beliau menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung kebenaran sidang Parlimen sewaktu tempoh darurat.

"Sudah tentu rakyat gembira dengan kenyataan ini.

"Sebenarnya, memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Apatah lagi dalam keadaan darurat yang telah diisytiharkan. Penentuan tarikh persidangan yang sesuai boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

BACA: Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat - Agong

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah dengan menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara tersebut termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.