KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepemimpinan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengiktirafan itu disampai oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada istiadat konvokesyen khas sempena sambutan ulang tahun penubuhan UIAM ke-40.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada UIAM dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kehormat tersebut.

Al Sultan Abdulllah menyifatkan ia bukan untuk pencapaian diri baginda tetapi juga mengiktiraf nilai dan peranan rakyat di negara ini.

"Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa kepemimpinan adalah sebahagian daripada tanggungjawab baginda dan tanggungjawab itu dipikul bukan untuk ganjaran atau pengiktirafan peribadi.

"Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada permaisuri Baginda, Raja Permaisuri Agong yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan semangat kepada Baginda," jelas kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu, Al Sultan Abdullah bertitah dengan sokongan, kasih sayang, pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dan sifat memahami Raja Permaisuri Agong telah membantu baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Sementara itu, UIAM memaklumkan penganugerahan itu adalah satu penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kepimpinan Seri Paduka Baginda terserlah apabila bersama-sama rakyat jelata memimpin negara ketika wabak COVID-19 melanda dunia dan negara. Sikap keprihatinan Seri Paduka Baginda telah membantu rakyat dan memberikan semangat kepada warga barisan hadapan untuk sama-sama bangkit dan melawan COVID-19.

"Keprihatinan Seri Paduka Baginda juga terserlah ketika setiap kali mendengar rakyat ditimpa bencana dan akan segera mencemar duli untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi.

"Ketokohan dan kepemimpinan Seri Paduka Baginda juga terserlah apabila kemelut politik yang melanda negara dirungkaikan dengan penuh berhemah dan profesional," jelas kenyataan itu.