KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong hari ini mendedahkan baginda telah menerima ratusan pucuk surat yang diutus oleh rakyat.

Bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberitahu surat tersebut mengandungi rintihan penuh duka rakyat yang mengharapkan seribu harapan.

Titah Seri Paduka Baginda lagi, rakyat jelata juga mahukan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

"Nasihat beta kepada semua ahli yang berhormat; jangan sama-sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

"Justeru, beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian, untuk mengembali kan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita," titah Seri Paduka Baginda.

Baginda juga menggesa semua pihak segera menghentikan pertelingkahan yang boleh menggugat kesepaduan dan keharmonian rakyat.






Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.