KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan media berkata, lawatan khas itu adalah atas persilaan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bola Sepak (FIFA) Qatar 2022.

"Selain persilaan menyaksikan perlawanan-perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir temasya ke-22 Piala Dunia FIFA itu, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Yang Mulia Sheikh Tamim.

"Seri Paduka Baginda turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini," memetik  kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember 2022.

Menurut Ahmad Fadil, persilaan peribadi Sheikh Tamim telah dipersembahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 12 Ogos 2022 lepas.

Seri Paduka Baginda juga merupakan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari tahun 2015 hingga 2019.

Susulan daripada pemilihan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke16 pada awal tahun 2019, Baginda telah berkenan melepaskan jawatan tersebut selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.