SHAH ALAM: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19, di sini, hari ini.

Seri Paduka Baginda meluangkan masa sekitar satu jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di PPS tersebut.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat daripada Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berhubung situasi banjir di Klang.

Sejak banjir buruk melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, Al-Sultan Abdullah beberapa kali mencemar duli di PPS bagi melihat sendiri keadaan mangsa yang terjejas.

Dalam lawatan hari ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa akibat musibah banjir tersebut.

Turut berkenan mengiringi dalam lawatan tersebut ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Selain itu, hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

PPS CIAST menempatkan lebih 300 mangsa banjir yang terdiri daripada penduduk di Seksyen 25 (149 orang), manakala 200 lagi adalah kakitangan CIAST.

Setakat semalam, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor menurun kepada 17,656 orang di 99 PPS di negeri itu berbanding 17,891 orang.