Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah kerajaan dalam menangani impak COVID-19 kepada rakyat dan ekonomi negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan perkara itu menerusi sidang video bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Sesi hari ini turut mencerminkan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap langkah-langkah yang telah diputuskan dan dilaksanakan oleh kerajaan demi mengimbangi kesihatan rakyat dan pada masa yang sama bertanggungjawab menangani kesan kepada ekonomi negara.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah tersebut, khususnya usaha-usaha memastikan bekalan makanan dan keperluan asas untuk rakyat mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengambil maklum dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 ke atas Ekonomi dan Pasaran Buruh yang diterajui bersama oleh MITI dan Kementerian Pertahanan.

"Al-Sultan Abdullah amat menghargai keputusan tersebut kerana kerajaan perlu menangani kesan COVID-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Malah, ujar beliau Seri Paduka Baginda juga amat prihatin terhadap impak COVID-19 kepada kedudukan dan prestasi ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP yang menyebabkan banyak sektor pembuatan dan perkhidmatan tidak beroperasi.

"Seri Paduka Baginda turut prihatin terhadap kesan pandemik ini kepada industri kecil dan sederhana (IKS) serta nasib para pekerja di negara ini," katanya.

Tambah Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan ini dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Justeru, Seri Paduka Baginda menyeru kepada semua untuk terus bersabar dan tabah mengharungi situasi ini sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala," katanya.