Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan terhadap keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei 2020.

Malah, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda turut menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah tegas lain yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID- 19 dengan berkesan di negara ini.

Tambahnya, antara langkah-langkah tersebut ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan berisiko tinggi seperti Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor dan Simpang Renggam di Kluang, Johor.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan perkara itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pagi tadi. - Foto Istana Negara

"Ini termasuk melaksanakan perintah yang sama untuk mengekang penularan pandemik ini di kalangan kluster warga asing seperti di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selangor Mansion di Masjid Indila, contohnya.

"Langkah tegas kerajaan untuk menutup pintu masuk kepada pelancong luar untuk mengelakkan kemasukkan kes postif COVID-19 luar atau kes import turut dihargai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: COVID-19: PKP diteruskan hingga 12 Mei

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan perkara itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pagi tadi selama 30 minit menerusi sidang video di Istana Negara.

Justeru katanya, Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa di atas pelaksanaan langkah-langkah tersebut.

Katanya, hasil daripada langkah-langkah pantas dan tegas tersebut, peratusan jangkitan positif COVID-19 di Malaysia lebih rendah berbanding dengan negara-negara yang lain, termasuk negara-negara maju.

"Peratusan tinggi pesakit COVID-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah turut membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Justeru, Ahmad Fadil berkata Baginda menyeru rakyat bersama memainkan memikul tanggungjawab dengan memastikan dan peranan keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa di atas pelaksanaan langkah-langkah tersebut. - Foto Istana Negara