KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong dan isteri Loo Tze Lui di Istana Negara, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pertemuan dengan Wong yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia berlangsung selama 30 minit bermula pukul 12 tengah hari.

Ahmad Fadil berkata dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Singapura.

"Seri Paduka menzahirkan pandangan sebagai negara berjiran yang mempunyai hubungan sejarah dan rakyat dengan rakyat yang mendalam, Malaysia dan Singapura perlu terus bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang dan peringkat, lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan pasca COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah bertitah adalah penting bagi Malaysia dan Singapura untuk saling melengkapi dan memperkasa hubungan sosial, perdagangan serta pelaburan ke tahap tertinggi untuk manfaat bersama termasuk kepada rakyat kedua-dua negara.

"Seri Paduka bertitah bahawa sebagai dua negara berjiran yang dekat, Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan Singapura," katanya.

Ahmad Fadil berkata kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai beberapa isu kepentingan bersama pada pertemuan itu.

Sementara itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan kepada baginda untuk mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama tiga hari bermula 19 Sept.

"Lawatan Negara yang telah dijadualkan ini akan mengukuhkan lagi keakraban dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Fadil berkata Wong, isteri dan delegasi kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan Seri Paduka berdua.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai dagangan berjumlah AS$64.43 bilion.

Pada 2021 juga, Singapura merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia dengan nilai sebanyak AS$38.62 bilion, manakala jumlah pelaburan Malaysia di Singapura adalah AS$25.41 bilion.

-- BERNAMA