KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di atas sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 Sinopharm kepada Malaysia.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan atas sumbangan itu.

Sebanyak 500,000 dos sumbangan UAE selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. Majlis penyerahan disampaikan oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE Nouf Ibrahim Ali Rasheed al-Kuwaiti kepada Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurut hantaran itu, bekalan kumpulan kedua 500,000 dos dijadualkan tiba dalam masa dua minggu lagi.

Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Saifuddin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan UAE dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin berkenaan.





"Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan akrab dan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara. Semoga sumbangan ini akan membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam memerangi dan membendung penularan virus tersebut," menurut hantaran itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin juga telah menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan Al-Sultan Abdullah kepada Duta Besar UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Alghaith dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan negara itu.

Sebelum ini, UAE juga menyumbang 20,000 unit kit ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) dan tujuh tan pensanitasi melalui program Stok Peralatan Diplomatik Malaysia (MDES) bagi penggunaan kedutaan Malaysia di luar negara.

Menerusi hantaran itu, Seri Paduka juga menyeru rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan penularan COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan berkesan serta segera.

-- BERNAMA