JAKARTA: Pendidikan Transnasional (TNE) memain peranan penting dalam merapatkan peluang global dengan keperluan tempatan di ASEAN dengan menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi dan membantu menjana jaringan global, kata seorang ahli akademik terkemuka.

Provost dan ketua pegawai eksekutif Universiti Heriot-Watt Malaysia Prof Mushtak Al-Atabi berkata TNE menyediakan kepada pelajar akses kepada program pendidikan berkualiti tinggi daripada universiti terkemuka di seluruh dunia tanpa perlu meninggalkan negara asal mereka.

"Ini boleh membantu pelajar mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang mereka perlukan untuk bersaing dan berjaya dalam ekonomi global," katanya sambil menambah bahawa program itu dibangunkan untuk memenuhi keperluan khusus masyarakat, industri dan ekonomi tempatan.

Menurut Mushtak, pelajar boleh membina jaringan global dan berhubung dengan mereka daripada budaya dan latar belakang yang berbeza melalui program serta membantu mereka membangunkan perspektif global.

Ia menggalakkan persefahaman silang budaya dengan mengumpul pelajar dari pelbagai negara dan membantu untuk memecah halangan budaya, menggalakkan kepelbagaian dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain.

"TNE boleh menyokong pembangunan ekonomi serantau dengan menyediakan akses kepada pengetahuan dan kemahiran baharu yang boleh memacu inovasi, produktiviti dan pertumbuhan," katanya.

Mushtak berkata TNE boleh menarik pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan di Indonesia apabila universiti asing bertapak di negara itu.

"Secara menyeluruh, TNE berpotensi menyumbang kepada pembangunan modal insan di Indonesia yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan daya saing," katanya.

Lulusan Universiti Heriot-Watt, Herwan Ng berkata beliau berpuas hati mengikuti program dalam talian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Edinburgh Business School universiti itu.

"Saya menyelesaikan program dalam talian sepenuhnya, memberikan saya fleksibiliti yang saya perlukan. Saya tidak perlu meninggalkan kerjaya saya sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) pada masa itu.

"Program MBA adalah satu perjalanan pembelajaran yang baik, membolehkan saya mengaitkan peranan CFO dengan teori yang saya pelajari. Program itu juga melengkapkan saya dengan ilmu baharu melangkaui kewangan," katanya.

Sementara itu, Mushtak memuji kerajaan Indonesia yang menyokong pembangunan TNE di negara itu dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi menyatakan sokongan mereka terhadap universiti asing untuk mewujudkan kehadiran mereka di sini.

Malah, program Kampus Merdeka (Pembelajaran Emansipasi) kerajaannya memberi kelonggaran kepada pelajar untuk memilih pelbagai laluan untuk membangunkan kecekapan dan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan terbaik di dunia.

-- BERNAMA