Ahli Parlimen didakwa tafsir ayat al-Quran: Siasatan diserah kepada Bukit Aman - Polis Perak

Amirrul Rabbani
September 22, 2023 07:02 MYT
Menurut Mohd Yusri, setakat ini pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap video Ahli Parlimen itu pada Khamis. - Foto Bernama
IPOH: Polis menyerahkan kertas siasatan berhuhung video tular yang memaparkan seorang shli Parlimen yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran kepada Bukit Aman.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat ini pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap video ahli Parlimen itu pada Khamis.
“Semalam (Khamis) pihak polis ada menerima satu laporan polis, daripada satu NGO berkenaan dengan video tular itu, dan setakat ini kita hanya menerima satu laporan polis sahaja di Perak berhubung perkara sama.
“Oleh itu, laporan polis yang dibuat akan dirujuk kepada laporan asal yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, dan kes ini akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Jumaat.
Mohd Yusri sebelum itu diminta mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat sebuah NGO Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak terhadap ahli Parlimen terbabit di Balai Polis Manjoi, pada Khamis.
Presiden Jabat Perak, Amiruddin Mohd Daud dilaporkan berkata tindakan ahli Parlimen Iitu yang didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran dianggap sebagai menghina agama Islam.
Sebelum itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri turut menyelar tindakan itu kerana didakwa mentafsir dan memutarbelitkan tafsir ayat 59, surah an-Nisa menerusi satu video yang dimuat naik di dalam akaun TikTok milik ahli Parlimen berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu turut menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#tafsiran ayat al-Quran #video tular #Ketua Polis Perak #Mohd Yusri Hassan Basri