Empat ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan melawat Semporna untuk mencari “bukti” dan melihat keberkesanan sama ada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) lebih bersifat sebagai “harimau tak bertaring” dan juga projek “gajah putih” dan seharusnya dihentikan serta merta.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phing, Ahli Parlimen Sandakan yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt dan Ahli Parlimen Lumut dari PKR, Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid akan melakukan lawatan tersebut hari ini dalam memberi saranan atau cadangan kepada kerajaan dalam memastikan keberkesanan fungsi ESSCOM dalam memastikan keselamatan di kawasan timur Sabah.

Lim Kit Siang yang juga merupakan Penasihat DAP berkata lawatan ini dilakukan selepas perdebatan dalam persidangan Parlimen yang berakhir pada Khamis lalu dimana keberkesanan ESSCOM dan keselamatan Timur Sabah kini menjadi persoalan utama selepas dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab yang berkesan dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara ini tidak dibolosi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, dalam persidangan Parlimen yang berlangsung pada minggu lalu, Ahli Parlimen Sandakan telah berjaya menangguhkan persidangan parlimen dengan mengusulkan supaya parlimen mengadakan debat terhadap usul tergempar dalam membincangkan ketidakupayaan dan kegagalan ESSCOM dalam menjadi ‘penjaga’ kepada kawasan timur Sabah berikutan kejadian penculikan kedua terhadap pelancong dari China pada 2 April lalu.

Malah, ianya berlaku kurang dari lima bulan selepas kejadian penculikan yang berlaku sebelum itu di Pulau Pom-Pom dan kurang dari 24 jam selepas ESSCOM merayakan ulangtahun pertama penubuhannya.

“Apa maknanya perbelanjaan berjumlah RM300 juta jika ESSCOM ini hanyalah sekadar menjadi bahan jenaka dan peranannya pula tidak digeruni oleh sesiapa terutama kepada penceroboh. ESSCOM kini lebih nampak sebagai seekor “harimau tak bertaring” dan juga sebagai projek “gajah putih?” tanya Kit Siang.

Lim berkata bukan sahaja ahli parlimen Pakatan Rakyat seperti Stephen Wong dan Jimmy Wong yang mahukan supaya penambahbaikan dilakukan dengan segera keatas ESSCOM tetapi Ahli Parlimen Kalabakan dari Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh juga mencadangkan supaya ESSCOM ditutup sekiranya gagal memainkan peranan utamanya dalam menjaga kedaulatan negara terutama di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan balasnya kepada soalan sama ada Ketua Pengarah ESSCOM wajar diberikan kuasa eksekutif dan bukan hanya bertugas sebagai mengkordinasi tanggungjawab agensi pula berkata perkara tersebut akan diputuskan oleh Kabinet terlebih dahulu.