Ahli PAS terutamanya anggota akar umbi kini mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan dan ketetapan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung kemelut dalam Pakatan.

Menurut Ketua PAS kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, ahli PAS kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti yang baru dipilih membuat keputusan yang bijak samada keputusan itu menguntungkan parti dalam pilihan raya atau sebaliknya.

“Jadi rakyat yang memerhati ini akan melihat samada keputusan terakhir yang dibuat ini menguntungkan parti untuk pilihanr aya,” beliau berkata.

Menurut Abdul Fatah lagi, PAS tidak mampu berseorangan dalam strategi untuk memenangi pilihan raya.

Tambahnya lagi, walaupun soal hubungan dengan DAP telah dibangkitkan sebelum, semasa dan selepas muktamar oleh ahli PAS, namun sehingga kini pucuk pimpinan masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

Katanya pada ketika dulu untuk mewujudkan Pakatan Rakyat ini bukan satu perkara mudah namun atas dasar hormat kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, maka pemimpin DAP dan PKR serta PAS duduk semeja dan dapat bermuafakat.

Katanya dalam Pakatan tiada sesiapa yang berhak menjadi ketua kerana segala persoalan dan masalah dalam Pakatan dibincangkan dalam Majlis Permuafakatan Presiden yang diwakili oleh ketiga –tiga presiden parti.

Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) dimana UMNO menjadi kepala dan memimpin parti komponen.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan percaya, sekiranya DAP berpecah dalam Pakatan ketika ini, DAP akan kembali mencari PAS apabila tiba pilihan raya nanti.

Katanya sekiranya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz masih ada perkara ini tidak berlaku kerana Allahyarham Nik Abdul Aziz cukup sayang kepada Pakatan.