ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan harapan agar kesemua ahli politik di Malaysia serta di negeri Kedah mempunyai jiwa negarawan dengan meletakkan masa hadapan negara melebihi kepentingan peribadi serta parti.

Menurut baginda, sejarah telah mengajar seluruh manusia berkenaan dua pengakhiran sesebuah tamadun apabila berhadapan dengan cabaran iaitu mereka yang gagal mengatasinya, akan musnah ditelan zaman manakala mereka berjaya mengatasinya akan menempa lembaran baharu sejarah.

Sehubungan itu, semua pihak perlu sedar, pelantikan kepimpinan baharu negara melalui proses rundingan tertutup bukanlah satu penyelesaian mutlak meskipun pergolakan politik di peringkat pusat baru-baru ini berjaya diharungi.

Sultan Sallehuddin menegaskan, kejayaan yang dicapai itu hanya langkah kecemasan dalam menghadapi masalah yang lebih besar selepas ini.

Baginda turut menyatakan, tempoh sehingga sebelum pilihan raya seterusnya adalah satu fasa kritikal yang memerlukan kesepakatan semua pihak khususnya ahli-ahli politik bagi menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda.

"James Freeman Clarke, seorang tokoh Amerika Syarikat pada kurun ke-19 ada menyebut,'A politician thinks of the next election; a stateman, of the next generation.'

"Beta menyeru kepada semua ahli politik untuk merenung kata-kata ini.

"Negara dan negeri Kedah pada tempoh genting ini memerlukan ahli politik yang berjiwa besar dan meletakkan masa hadapan negara dan negeri melebihi kepentingan parti dan peribadi, lebih tepat lagi ahli politik yang berjiwa negarawan," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal keempat Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut berharap agar kadar vaksinasi di Kedah dapat dipertingkatkan dan imuniti kelompok di negeri itu berjaya dicapai dengan kadar segera sekaligus membolehkan sektor ekonomi serta sosial dapat dibuka secara sepenuhnya lebih awal.

Kerajaan negeri juga diseru memikirkan langkah sewajarnya bagi menyelesaikan masalah kelompok penduduk yang berdepan cabaran capaian internet yang lemah bagi proses pendaftaran vaksin.

Begitu juga golongan warga emas yang tidak memunyai kemudahan pengangkutan untuk ke lokasi penerimaan vaksin.

Sultan Sallehuddin turut berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil langkah yang bijaksana dalam berhadapan dengan individu berfahaman antivaksin yang berisiko menggagalkan usaha bagi negara dan negeri Kedah mencapai imuniti kelompok.

Sehubungan itu, maklumat yang tidak tepat berkaitan vaksin COVID-19 selain berita palsu yang dapat memesongkan pemikiran rakyat perlu ditangani dengan segera.