KUALA LUMPUR:Seorang ahli perniagaan yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumah.

Suspek yang pernah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik tahun lalu itu ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Pudu di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasukan polis pada mulanya menahan suspek yang dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 1.45 petang.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 pada suspek.

“Hasil daripada tangkapan itu, kami membuat satu lagi serbuan di rumah suspek yang terletak di Ampang, Selangor sekitar pukul 1 pagi semalam dan berjaya membawa kepada penemuan tujuh pokok ganja serta dua anak pokok ganja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Saiful Azly, pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.

Tambah beliau, kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja bernilai RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.

Hasil soal siasat polis ke atas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu.

“Polis juga difahamkan suspek telah menghasilkan sendiri dadah berkenaan dengan campuran jenis ganja dan ketamin sebelum menjual di luar pada harga RM300 sebotol,” katanya.

Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 27 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B akta sama.