Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman enggan mengulas lanjut kenyataan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said berhubung desas-desus beliau bakal dilucutkan jawatan sebagai menteri besar.

Menurut Ahmad Razif, beliau tidak berminat untuk melayan isu berkenaan sebaliknya menumpukan kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Kita tidak ada isu dah sekarang ini. Kita terus bergerak ke hadapan. Apa orang nak sebut, sebutlah. Kita sudah tiada masa untuk melayan semua itu kerana ia merugikan rakyat.

"Dia (Ahmad Said) berkata menteri besar sekarang sedang menghitung hari. Itu terpulanglah kepada dia sebab itu tafsiran dia. Kita akan terus bekerjasama dengan kepimpinan Exco yang ada," kata Ahmad Razif ketika ditemui di Majlis Penyampaian Watikah Yang Berhormat dan Jabatan Angkat Atlet SUKMA Terengganu, di sini.

Kenyataan Ahmad Said berhubung kedudukan Ahmad Razif disiarkan sebuah akhbar tempatan minggu lalu dan menjadi viral di media sosial.