KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari  itu dibuat kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Dakwanya lagi, pengagihan wang itu berlaku di lapan Parlimen di Terengganu, namun, kerana kesukaran untuk mendapatkan saksi, hanya tiga petisyen dapat difailkan buat masa ini.

“Saya tidak pernah melihat, sepanjang tempoh sembilan kali saya bertanding, wang berleluasa digunakan sehingga saya dapat maklumat, semasa seorang pengundi luar pergi ambil duit, duit itu bertimbun-timbun dalam bilik.

“Sebab itu saya pernah tanya dulu, dari mana datang duit ini yang begitu banyak. Sebab itu di Kemaman, pada malam 18 November, pilihan raya pada 19 November… pada malam 18 November, mereka dah adakan perarakan di Kemaman.

“Mereka tahu, dengan duit dikeluarkan itu, dengan pengundi yang dibayar, mereka pasti menang dan saya kalah lebih daripada 27,000 undi di Kemaman,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, pada Isnin.

Mengambil contoh isu sama di Cameron Highlands sebelum ini, Ahmad berkata, hakim membatalkan keputusan pilihan raya dan mengarahkan ia diadakan semula selepas mendapati berlakunya pengagihan wang di kawasan itu.

Justeru, beliau berharap tindakan sama diambil terhadap ketiga-tiga kawasan itu berpandukan  kepada petisyen pilihan raya dihantar pihaknya.

Dalam pada itu, peguam Amin Othman memaklumkan, pihaknya sudah mempunyai cukup saksi untuk membawa kes itu ke mahkamah nanti dan setakat ini, jumlahnya hampir 20 orang.

“Pihak kami telah failkan tiga petisyen pilihan raya, telah difailkan oleh calon atau wakil calon Barisan Nasional (BN) terhadap calon daripada parti Pas yang telah menang.

“Petisyen pertama kami adalah di Marang, terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang, kedua, melibatkan Kuala Terengganu dan ketiga, Kemaman.

“Asas kepada petisyen adalah bersandarkan dakwaan isu rasuah yang berlaku semasa tempoh berkempen dan semasa hari mengundi.

“Kami telah failkan pada 3 Januari 2023, telah sempurna petisyennya dan telah dihantar kepada ketiga-tiga calon yang menang termasuk kepada Abdul Hadi,” ujarnya.

Jelasnya, petisyen itu difailkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.