Ahmad Said kekal sebagai MB Terengganu

Astro Awani
Mei 9, 2013 10:47 MYT
Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bakal kembali menerajui negeri Terengganu bagi penggal kedua.
Ia sekaligus menamatkan spekulasi mengenai beberapa calon yang dikatakan bakal mengisi jawatan penting itu.
Ahmad Said berkata majlis angkat sumpah akan diadakan beberapa hari lagi serentak dengan perlantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
“Saya telah pun menghadap kebawah DYMM Sultan Terengganu sebentar tadi dan telah pun menerima surat perlantikan persetujuan oleh YAB Perdana Menteri melantik saya sebagai Menteri Besar Terengganu dan Tuanku telah memperkenankannya.
“Majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar akan diadakan serentak dengan jawatan exco. Insyaallah akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata barisan exco yang bakal dilantik sudah dikenalpasti dan disenaraikan menjelang hari mengangkat sumpah.
Ahmad Said berkata demikian pada sidang media di kediaman rasmi Seri Iman selepas menghadap Sultan Terengganu kira kira jam tiga petang.
Beliau berkata pihaknya hanya akan menentukan portfolio exco yang dilantik selepas kerajaan pusat menyenaraikan barisan menteri kabinet.
Ia bagi memastikan pelarasan dapat dilaksanakan antara kerajaan pusat dan negeri bagi melicinkan urusan pentadbiran.
Pada pilihan raya umum ke 13, Barisan Nasional (BN) Terengganu menang 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan manakala bagi kerusi Parlimen, BN menang empat daripada lapan kawasan Parlimen.
#Datuk Seri Ahmad Said #Menteri Besar Terengganu