IPOH: Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka akan membawa perubahan kepada negeri itu terutama potensi untuk menarik pelabur.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Ab Rauf juga diharap meneruskan kerja-kerja Ketua Menteri terdahulu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"... bukan hanya meneruskan kesinambungan kerja-kerja Datuk Seri Sulaiman tetapi melakukan perubahan yang boleh meletakkan Melaka ke paras lebih menarik terutama pelaburan dan pelancongan, saya difahamkan ada kawasan industri yang berpotensi dibangunkan dan boleh membawa pelaburan sehingga RM100 juta dalam masa empat tahun ini," katanya.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sementara itu hampir 1,500 terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Ia menjadi lokasi ketujuh di 13 negeri selepas majlis yang bermula di lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak, Selangor.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada 140 anak-anak yatim dan tahfiz.

Pada majlis itu juga, turut disampaikan Bantuan Imarah Masjid daripada Risda kepada dua masjid setempat dengan nilai RM6,000.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Sekolah Izzudin Shah.

-- BERNAMA