Ahmad Zahid nafi terima suapan RM42.76 juta

Sinar Harian
Jun 27, 2019 02:42 MYT
Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh. - Gambar fail/Astro AWANI
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42.76 juta berhubung mengekalkan lanjutan kontrak visa, lima tahun lalu.
Bagaimanapun bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan 26 pertuduhan yang pertama, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan S$9,320,000 sebagai upah untuk dirinya iaitu Menteri Dalam Negeri bagi mengekalkan lanjutan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu visa luar negara kepada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd.
Ahmad Zahid, 66, juga mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menerima RM3,125,000, S$1,150,000, €15,000 dan $15,000 bagi tujuan sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga April 2017.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Kitsong Foong, Hamidi Mohd Noh dan Mohd Shahril Madisa.
Mukhzany Fariz mencadangkan RM1 juta sebagai jaminan dengan mengambil kira jumlah keseluruhan nilai yang terlibat RM42.76 juta.
Kitsong membantah jaminan tersebut.
Hakim Rofiah Mohamad membenarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.
#Mahkamah Sesyen #Rasuah #shah alam #SPRM #Timbalan Perdana Menteri #UMNO #Zahid Hamidi