KUBANG PASU: Pusat penyembelihan menjadi pilihan orang ramai untuk melaksanakan ibadah korban kali ini kerana lebih mudah dan praktikal.

Pengurus Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd, Mohamad Alias Zainol Abidin berkata, pusat penyembelihannya di Jalan Sintok di sini, menerima tempahan sejumlah 146 ekor lembu berbanding 62 ekor pada tahun lalu.

Katanya, lembu tersebut akan dikorbankan bermula hari raya pertama hingga keempat.

“Tahun ini permintaan di pusat penyembelihan meningkat kepada 146 ekor mungkin kerana disediakan perkhidmatan lengkap termasuk mengedarkan daging korban kepada asnaf,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Jalan Sintok di sini.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan menempah lembu di ladang mereka, seterusnya mewakilkan petugas untuk melaksanakan ibadah korban.

“Pendek kata, pelanggan hanya datang ambil daging korban untuk dibawa balik. Kerja-kerja pengedaran daging juga kami uruskan tanpa caj,” katanya.

Jelasnya, operasi ladang ternakan dan pusat penyembelihan tersebut mempunyai permit yang sah daripada jabatan veterinar daerah dan pihak berwajib.

“Kelulusan yang kita ada ini menjadikan pelanggan yakin untuk melaksanakan ibadah korban di sini,” katanya. -Sinar Harian