DUNGUN: Permintaan ayam mentah di Terengganu menyaksikan peningkatan kira-kira tiga kali ganda menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha berbanding hari biasa.

Harga siling RM9.40 sekilogram yang ditetapkan kerajaan dianggap munasabah dan tidak terlalu membebankan pengguna.

Tinjauan di Pasar Besar Dungun mendapati kalangan pengguna merancang perbelanjaan serta membuat perbandingan harga dengan memilih lokasi jualan yang menawarkan harga berpatutan.

"Sebelum ini harga memang agak tinggi, saya pernah beli sebelum ini sampai RM12, hari ini harga ayam kembali pada harga RM9.40.

"Jadi pengguna boleh beli untuk hari raya ini, dengan harga yang kembali pada, harga yang lebih rendah," kata seorang kakitangan awam, Nasiruddin Mohamad.

Menurut peniaga, mereka terpaksa menambah bekalan daripada 200 ekor kepada 800 ekor ayam sehari bagi menampung permintaan sepanjang musim perayaan.

"Keuntungan nipis sahaja, boleh dalam 70 hingga 80 sen.

"Ketika hari raya kali ini, mungkin ada cukup ayam. Ayam setakat ini, ayam besar, kalau ayam kecik memang ayam tak cukup. Sekarang ini ayam besar makna ayam cukuplah," kata peniaga ayam, Shahrul Hamid Mydin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu sebelum ini memberi jaminan bekalan ayam di negeri itu mencukupi.

Pemerhatian juga mendapati peniaga mematuhi harga siling ayam yang ditetapkan oleh kerajaan bermula 1 Julai malah ada menjual pada harga lebih rendah.