KUALA LUMPUR: Plaza tol dan kawasan mendaki merupakan lokasi yang kerap berlaku kesesakan di lebuh raya sepanjang cuti sempena sambutan Aidiladha kali ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata ia susulan dapatan daripada Op Lancar yang dibuat oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM.

"JSPT telah memulakan Op Lancar pada Jumaat dan ia bakal berakhir pada Isnin.

"Esok (hari ini) pengguna jalan raya di seluruh negara dijangka mula pulang ke ibu kota setelah bercuti sempena perayaan kali ini," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau turut menasihati pengguna supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan lebuh raya dan cadangan pergerakan oleh konsesi lebuh raya sebelum memulakan perjalanan.

"Patuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna yang lain di lebuh raya," katanya.

Noorsiah berkata PDRM sentiasa komited dalam pengurusan Op Lancar demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna serta kelancaran lalu lintas.

-- BERNAMA