KOTA BHARU: Semua premis perniagaan termasuk pasar raya, kompleks beli belah, kedai serbaneka dan restoran makanan segera di seluruh Kelantan diarahkan tutup esok sempena sambutan Aidiladha.

Arahan itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) melalui satu surat bertarikh 6 Julai.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha MPKB BRI, Mohd Shaifudeen Md Salleh.

Difahamkan, semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri menerima arahan serupa bagi dikuatkuasakan di kawasan pentadbiran masing-masing.

Menurut surat berkenaan, kesemua premis terbabit perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri dengan menutup operasi perniagaan pada Hari Raya pertama sahaja.

Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan tindakan undang- undang yang tegas dikenakan terhadap pemilik premis termasuk pembatalan lesen perniagaan.

Difahamkan, notis pemakluman itu telah diedarkan kepada semua pemilik premis perniagaan seluruh Kelantan.