KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba turut menerima 'duit raya' apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

"Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan... Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300," kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antara lain melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

BACA: Bantuan Aidilfitri, pelepasan cukai individu - Anwar umum 4 inisiatif tambahan Belanjawan 2023