KUALA LUMPUR: Keluarga semua penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan sempena sambutan Aidilfitri pada Hari Raya ketiga dan keempat.

Semua lawatan berkenaan melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam.

Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan iaitu pada 26 hingga 28 April ini.

Menurut kenyataan itu, keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

"Membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sample dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

"Selain itu, pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu melalui tempahan iaitu Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

"Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan mereka perlu menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA