PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti khas untuk semua kakitangan awam di kementerian itu pada 19 April ini sempena sambutan Aidilfitri.

Susulan itu, kata Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tiada sesi persekolahan pada tarikh tersebut.
 
"Berita gembira, dengan ini pada 19 April KPM mengisytiharkan cuti khas untuk semua warga KPM. Maka, 19 April tiada persekolahan.

"Kita ambil kira semua pandangan semua pihak dan untuk kesejahteraan mereka, khusus warga KPM dan guru kita, untuk mereka pulang ke kampung. Selamat bercuti,"  katanya kepada media selepas menghadiri Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023, di sini pada Selasa. 

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Jasni Md Kechik berkata, terdapat keperluan untuk  KPM mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena Aidilfitri sekiranya perayaan itu jatuh pada 21 April ini.

Perkara itu juga katanya, berdasarkan kepada pandangan ibu bapa yang mahu anjakan tarikh baharu bagi memudahkan rancangan perjalanan selain memastikan keselamatan warga guru dan pelajar terjamin.

KPM umum cuti 19 April, tiada sesi persekolahan