SEBERANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan minyak masak peket bersubsidi dan bahan mentah lain di pasaran  tempatan mencukupi sehingga perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini tiada krisis kekurangan bekalan ketara dilaporkan meskipun pihaknya menerima aduan berhubung kekurangan minyak peket di beberapa kawasan dalam masa tertentu.

Beliau berkata, sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak dibekalkan setiap bulan dan beliau yakin ia mencukupi bagi menampung keperluan pengguna

"Dia ada isu kadang-kadang... tempat  yang shortage (kekurangan bekalan) itu peniaga tiada ECOSS (Skim Penstabilan Harga Minyak Masak)... yang keduanya mungkin ada isu kredit antara peruncit dan pemborong.

"Itu kes terpencil, tapi kalau berlaku ,serta-merta boleh adukan dan kita akan bertindak dengan cepat untuk memulihkan bekalan," katanya.

Salahuddin berkata demikian kepada media ketika ditanya berhubung rungutan pengguna yang masih sukar mendapatkan minyak masak peket bersubsidi.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Program Bakul Rahmah bersama Petronas Dagangan Berhad di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jumaat.

Mengulas lanjut, katanya bekalan lain antaranya ayam, telur ayam dan sayur-sayuran juga mencukupi.

"Setakat ini berdasarkan fakta-fakta yang kita terima, khususnya daripada Jabatan Pertanian, bekalan ayam, telur, sayur-sayuran termasuklah bekalan minyak masak bersusidi adalah mencukupi," katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata,  pihak KPDN akan terus berkoloborasi dengan beberapa kementerian berkaitan untuk mengatasi isu berkaitan bekalan secara berhemah termasuk mengatasi isu orang tengah bagi membolehkan pengguna mendapat harga lebih berpatutan.