KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk rasuah dan penyelewengan yang berlaku di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika ini kerajaan berada pada dasar penyusunan semula reformasi dan pembaharuan dalam aspek penekanan nilai integriti.

"Hari ini kita sedang berada dalam dasa penyusunan semula (reformasi dan pembaharuan). Kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk rasuah dan penyelewengan.

"Insya-Allah penekanan kepada nilai integriti dan tata kelola yang baik di dalam pentadbiran organisasi adalah salah satu tonggak utama kerajaan kerana melaluinya amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban dapat menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Intergriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada Rabu.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Tambah Fadillah, kerajaan hari ini komited dalam menerapkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik dalam rangka kerja masyarakat.

Malah agenda reformasi Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan ketika ini, dijangka dapat meningkatkan reputasi Malaysia sebagia negara mementingkan integriti dan profesionalisme.

"Kerajaan hari ini komited untuk menerapkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik dalam rangka kerja masyarakat. Kedua-dua komponen tersebut saling melengkapi antara satu sama lain.

"Kekurangan salah satu darinya akan menyebabkan kepincangan ekosistem pengurusan sesebuah organisasi syarikat dan negara.

"Ini kerana negara tidak akan berupaya melangkah lebih jauh sekiranya sektor awam, swasta dan seluruh masyarakat tidak berganding bahu dalam usaha meningkatkan integriti dan menolak sekeras-kerasnya rasuah di Malaysia.

"Penolakan rasuah secara total dan tahap intergriti tertinggi hanya akan tercapai apabila semua pihak memainkan peranan agar tiada ruang langsung yang membolehkan ia menular," jelasnya.