Air pasang besar: 11 kawasan di Hilir Perak terjejas

Abd Razak Mohd Ali
November 6, 2021 04:37 MYT
Sebahagian kawasan di Pekan Teluk Intan dinaiki air berikutan berlakunya fenomena air pasang besar ketika tinjauan di Teluk Intan hari ini. --fotoBERNAMA
TELUK INTAN: Air pasang besar di Perak bukan sahaja menyebabkan 73 penduduk di Beruas terpaksa dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), malah turut menjejaskan beberapa kawasan di daerah Hilir Perak.
Berdasarkan pemantauan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak sejak 4.30 pagi ini, didapati 11 kawasan telah dinaiki air.
Antara kawasan itu ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabit, Ban Taman Maharani, Batu 6 Jalan Maharajalela dan Taman Desa Aman.
Menurut jurucakap APM Perak, air laut mulai pasang sekitar jam 4.30 pagi dan melimpah ke kediaman penduduk di pesisir Sungai Perak setinggi kira-kira 0.3 meter.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang dipindahkan dan air mulai surut jam 7 pagi.
BACA: Air pasang besar: 70 penduduk Beruas dipindahkan ke PPS
#pusat pemindahan #Teluk Intan #PPS #air pasang besar