KUCHING: Hujan lebat serta fenomena air pasang besar serentak sekitar sini pada Ahad menyebabkan 81 orang penduduk daripada 33 keluarga dari dua kampung dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas kediaman mereka dinaiki air semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan berkata sehingga jam 4 petang, PPS di Dewan Sri Buntal di sini menempatkan 54 orang penduduk daripada 26 keluarga dari Kampung Buntal.

Menurutnya Surau Ar Rahman di Kampung Sungai Batu yang dijadikan PPS pula menempatkan 27 orang penduduk daripada tujuh keluarga di kampung berkenaan.

Kedua-dua PPS itu dibuka sejak jam 8 pagi.

-- BERNAMA