YAN: Kawasan air terjun Titi Hayun dan Seri Perigi di sini sekali lagi dilanda kepala air berikutan hujan lebat pada petang Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, hujan lebat kira-kira jam 6 petang yang melanda daerah ini mengakibatkan limpahan air deras turun dari puncak bukit.

“Bomba menerima laporan daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas menjaga kawasan itu mengatakan berlaku limpahan air di kawasan peranginan itu.

"Kejadian berlaku ketika hujan lebat di atas puncak Gunung Jerai menyebabkan air mengalir deras mengakibatkan kepala air berlaku.

"Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada pengunjung dilaporkan berada di situ dan tidak menjejaskan rumah penduduk berhampiran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Norhamidi berkata, anggotanya kemudian menutup sementara laluan di kawasan pusat peranginan itu bagi mengelakkan orang ramai masuk di lokasi berisiko tersebut.

Katanya, untuk langkah keselamatan bomba menempatkan seramai enam anggota, manakala RELA seramai tujuh orang anggota serta lima orang anggota dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan.

"Dianggarkan terdapat 30 rumah penduduk berhampiran sungai di kawasan itu dan pihak bomba hanya memberi peringatan supaya berjaga-jaga," katanya.

Tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku pada 18 Ogos 2021, mengorbankan tujuh nyawa selain mengakibatkan lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas.