Pandemik COVID-19 yang membelenggu kira-kira 180 negara di serata dunia semakin membimbangkan.

Semua pihak berharap keadaan menjadi semakin baik dengan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus berusaha memerangi virus ini.

Kini semakin banyak pihak menghargai kumpulan ini dan cuba membantu dengan memberi pelbagai sumbangan peralatan perubatan.

Jenama kemudahan katil di bawah Eastern Decorator Sdn Bhd, AKEMI, tidak ketinggalan untuk menghasilkan 10,000 topeng pelindung muka yang akan diedarkan kepada hospital yang mengendalikan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Eastern Decorator Sdn Bhd, Susan Koay, berkata sebelum ini, AKEMI sudah menghasilkan 2,000 topeng pelindung muka dan telah mengedarkannya kepada Hospital Sungai Buloh dan beberapa hospital lain.

“Kami terpanggil untuk mengambil inisiatif ini susulan melihat gambar jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang membuat topeng pelindung muka sendiri disebabkan kekurangan bekalan.

  Wakil AKEMI, Encik Shamsul Helmy bin Shamsuddin (kiri) dan ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu  (kanan) menyampaikan topeng pelindung muka kepada Hospital Sungai Buloh.

“Kami ingin membantu meringankan beban barisan hadapan dengan membuat topeng pelindung muka untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sejajar dengan mesej teras syarikatnya iaitu “Bringing Togetherness”, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial syarikat itu.



“AKEMI kini juga sedang mengkaji bahan yang diperlukan untuk menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang lain seperti pelindung kasut, tudung dan pelindung kepala jururawat,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata AKEMI memberikan keutamaan kepada hospital kerajaan.

Bagaimanapun, katanya jika terdapat mana-mana hospital bukan kerajaan yang memerlukan bekalan topeng pelindung muka tersebut, AKEMI akan berusaha untuk membantu.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan permintaan untuk mendapatkan topeng pelindung muka, orang ramai boleh mengajukan soalan kepada [email protected].