ADA sebuah dokumentari yang cukup menarik, tentang dunia persuratkhabaran dan kewartawanan yang terbit dua tahun lalu di Amerika Syarikat. Seorang pengkritik filem menyifatkannya sebagai filem terbaik mengenai dunia persuratkhabaran dan kewartawanan semenjak All The President's Men yang diarahkan oleh Alan J. Pakula.

All The President's Men adalah rakaman pengalaman dua wartawan akhbar The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein yang membongkar skandal Watergate. Pembongkaran mereka menjatuhkan Presiden Richard Nixon dari puncak kuasa dan mengubah politik Amerika. Filem itu terbit pada 1976. Ertinya, dokumentari itu disifatkan sebagai filem yang cukup berjaya merakamkan semangat industri persuratkhabaran dan kewartawanan dalam masa 35 tahun.

Dokumentari itu judulnya, Page One: Inside The New York Times. Ceritanya, ya, tentang akhbar harian Amerika Syarikat yang terbit sejak 1851 itu. Filem itu ditulis dan diterbitkan oleh pasangan suami isteri, Kate Novack dan Andrew Rossi. Ia diarahkan oleh Rossi sendiri.




New York Times membuka pintu seluas-luasnya kepada Rossi untuk mendampingi wartawan, pengarang dan pemilik akhbar berkenaan selama setahun. Dia mengikuti mereka menguruskan berita, daripada wawancara di lapangan sampailah kepada diskusi di bilik berita. Dia ikut masuk ke bilik mesyuarat dan mengikuti perbincangan barisan editor akhbar ternama itu — sekali pada 10.30 pagi dan sekali lagi pada 4.30 petang — untuk menentukan berita dan foto yang akan muncul di muka depan.

Latar filem ini menarik, sangat menarik. Dokumentari itu dikerjakan antara 2009 sehingga awal 2010. Ketika itu industri persuratkhabaran Amerika, dan dunia amnya, sedang berdepan cabaran yang sangat dahsyat. Pendapatan iklan merosot antara lain kerana krisis ekonomi dan banyak syarikat akhbar terpaksa mengecilkan saiz operasi dan memberhentikan pekerja.


Media baru

Pada masa sama, muncul media baru yang dipacu oleh kemajuan teknologi. Kemunculan media baru itu jadi lebih menyakitkan selepas Apple mula memperkenalkan iPad pada April 2010. Orang mula mengakses berita tanpa mengira tempat. Pasaran akhbar mula goncang. Bagi sesetengah orang, membaca berita di iPad terasa lebih mengghairahkan berbanding menyelak kertas halaman demi halaman. Internet terus jadi sumber utama penyaluran berita.

Kesannya, operasi syarikat akhbar terpaksa dikaji semula dan lebih ramai pekerja terpaksa diberhentikan tetapi pada masa sama, unit baru khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dibentuk dan kelompok baru wartawan serta pengarang diambil bekerja.

Itulah yang berlaku di New York Times ketika dokumentari ini dikerjakan. Rossi mendampingi pengarang dan wartawan di Meja Media akhbar itu yang baru diwujudkan pada 2008. Ia diketuai oleh pengarangnya, Bruce Headlam yang dibantu antaranya oleh tiga wartawan yang sebelumnya khusus menulis hal ehwal media di Meja Bisnes iaitu Tim Arango, Richard Perez-Pena and Brian Stelter. Mereka kemudian disertai oleh David Carr sebagai kolumnis.


David Carr (kiri) dan Bruce Headlam dalam satu adegan daripada Page One: Inside The New York Times

David Carr (kiri) dan Bruce Headlam dalam Page One: Inside The New York Times


Kelima-lima mereka jadi watak penggerak cerita dalam Page One. Tetapi antara mereka berlima, Carr muncul jadi watak utama. Dia juga kebetulan merupakan pencetus idea dokumentari berkenaan.
Carr, 56, watak yang menarik -- sudah lebih 25 tahun jadi wartawan, lantang bersuara dan selebihnya ada sejarah hidup yang hitam pernah jadi penagih dadah. Dia sangat percaya tentang perlunya media berubah dalam deras peredaran zaman tetapi pada masa sama, mempertahankan akar yang menunjangi kekuatan media dengan segala prinsip dan etika.

Wataknya bertembung dengan Stelter, wartawan muda yang bermula sebagai blogger yang menulis tentang industri televisyen dan penyiaran semasa berumur 18 tahun. Pada umur 21 tahun, dia diambil bekerja oleh New York Times. Dia memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan menggunakan segala platform media sosial yang ada -- Twitter, YouTube, Facebook dan segalanya.

Dokumentari ini mengangkat cerita lima watak tadi tetapi ada satu cerita yang menjadi kerangka utama iaitu kemunculan pendedahan Wikileaks mengenai kejahatan perang di Iraq.





Pendedahan oleh Wikileaks yang diasaskan oleh Julian Assange menghenyak dunia kewartawanan ke bucu dinding. Ia membuka satu medan persaingan baru kepada media — tentang bagaimana bahan berita dikumpulkan pada masa akan datang.

New York Times sebagai sebuah akhbar yang dihormati pada 1971 mendedahkan Kertas Pentagon iaitu fail sulit kerajaan Amerika mengenai Vietnam — yang mencecah hampir 7,000 halaman dalam 43 jilid — yang diterima salinannya daripada Daniel Ellsberg, seorang penganalisis ketenteraan.

Lajak ke depan, 39 tahun kemudian, Wikileaks melakukan perkara yang hampir sama — mendedahkan maklumat sulit kerajaan tetapi dengan menggunakan Internet dan YouTube, dan pendedahan itu tersebar dalam sekelip mata.


Cabaran

Jeff Jarvis, penulis buku What Would Google Do? yang diwawancara dalam dokumentari ini mengatakan: "Model akhbar yang lama sudah mati." Ya, tetapi berita tidak mati, dan tidak akan mati-mati. Itulah yang menjadi cabaran media masa kini, baik sebuah akhbar, saluran berita televisyen mahupun laman web berita. Cabaran itu baru saja bermula.

Bill Kovach dan Tom Rosenstiel dalam buku mereka yang penting tentang kewartawanan, The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menghujahkan perkara yang sama — bahawa manusia telah menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu, caranya mungkin berbeza tetapi asasnya sama — tentang pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan, tentang menegakkan kebenaran dan antara yang paling penting, kesetiaan media adalah kepada rakyat.

New York Times tidak terkecuali daripada ujian itu. Kredibilitinya diperlekehkan selepas wartawannya, Jayson Blair tertangkap menipu dan memplagiat dalam banyak pemberitaannya pada April 2003. Dia berhenti daripada akhbar itu sebulan kemudian. New York Times juga dimalukan apabila laporan wartawannya Judith Miller mengenai senjata pemusnah besar-besaran di Iraq yang kemudiannya membawa kepada pencerobohan Amerika ke atas Iraq ternyata palsu dan tidak dapat disahkan.

Tetapi New York Times bangkit daripada dua insiden yang mencemarkan imej dan kredibilitinya itu. Ia tidak berpaling ke belakang. Ia terus menempa nama sebagai sebuah akhbar yang dihormati apabila hampir setiap tahun menang Hadiah Pulitzer. Sehingga ini, ia telah menang 108 anugerah.

Laporan multimedia bertajuk Snow Fall yang diterbitkan oleh laman web New York Times pada 20 Disember 2012

Pada akhir tahun lalu, laman webnya menerbitkan laporan panjang tentang insiden sekumpulan pemain ski yang terperangkap dalam runtuhan salji. Laporan itu menggunakan format multimedia dengan teks, foto, video dan grafik yang jadi piawaian baru kepada semua laman web berita di seluruh dunia. Sekali lagi kredibiliti dan kemampuan New York Times dipuji dan dicemburui.

Itulah pada akhirnya yang menjadi antara ukuran kredibiliti akhbar itu. Wartawan Indonesia, Ignatius Haryanto yang pernah jadi koresponden New York Times di Jakarta merakamkan pandangannya mengenai akhbar itu dalam bukunya, The New York Times: Menulis Berita Tanpa Takut dan Memihak.

Katanya: "Membangunkan kredibiliti sebuah media bukan perkara mudah, dan jaminannya bukan sekadar modal wang besar atau para wartawan yang dibajak dari sana dan sini. Menumbuhkan etos dan semangat para karyawan ini jauh lebih penting dan kebebasan juga hal penting yang tak boleh dilupakan."