PUTRAJAYA: Rentas negeri akhirnya dibenarkan berkuat kuasa pada 11 Oktober selepas hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti tersebut susulan penularan pandemik COVID-19.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Sidang Media Khas di Bangunan Perdana Putra, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung halaman.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus pada Ahad.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan kebenaran rentas negeri tidak terpakai kepada lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini. Maka dengan ini saya mengumumkan bahawa dengan kadar 90 peratus vaksinasi lengkap dua dos bagi kumpulan dewasa, maka rentas negeri dibenarkan oleh pihak kerajaan.

"Kebenaran ini akan bermula pada esok (11 Oktober). Jadi, esok bebas lah dan ini lah yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Seperti saya katakan tadi, peringkat awal kita perlu tegas soal rentas negeri ini dan seperti yang dijanjikan, sudah sampai 90 peratus, maka rakyat Malaysia boleh melakukan pergerakan," katanya dalam sidang media khas, di sini.

Jelas Perdana Menteri lagi, aktiviti pelancongan juga dibenarkan selari dengan kebenaran untuk merentas negeri.

Beliau dalam masa yang sama, mengingatkan agar rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun kebebasan pergerakan telah diberikan.

"Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi dikuatkuasakan. Bermakna, kesalahan Akta 342 masih boleh dikenakan dan mereka yang melanggar (SOP) boleh dikenakan tindakan.

"Walaupun tiada sekatan khusus untuk menyekat rentas negeri, tetapi pihak polis masih boleh membuat pemeriksaan secara rawak di mana sahaja, mungkin sewaktu berada di kawasan Rehat dan Rawat (RnR).

"Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng terus dilaksanakan dan pihak polis boleh membuat pemeriksaan terhadap MySejahtera walaupun tiada SJR khusus untuk tujuan rentas negeri," ujar beliau lagi. 

Kebenaran rentas negeri bermula Isnin, 11 Okt 2021