JOHOR BAHRU: Permintaan telur gred kawalan yang meningkat secara mendadak sehingga berlaku kekurangan bekalan menyebabkan ada pembeli terpaksa membeli telur kotor, didakwa masih diselaputi najis.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, pembeli telah membuat aduan dan peniaga terbabit juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut.

"Ada satu, dua kes yang viral di media sosial isu telur kotor.

"KPDNHEP ada mendapat satu aduan rasmi di Johor Bahru dan sedang buat siasatan sama ada ia benar atau tidak.

"Mungkin ada pelbagai sebab (kekurangan bekalan telur) antaranya penggunaan industri.

"Solusi jangka panjang adalah kita perlu tingkatkan bekalan," katanya pada sidang media, selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.

Jelasnya, permintaan telur ayam gred kawalan di negeri itu dilaporkan mengalami peningkatan secara mendadak berikutan industri seperti pembuatan roti.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, Johor merekodkan pengeluaran telur ayam pelbagai gred sebanyak 10 juta biji setiap minggu.

Telur ayam kawalan menjadi pilihan kerana harganya lebih rendah berbanding telur ayam jenis istimewa atau omega yang bukan di bawah kawalan.