AMPANG: Hanya kerana perselisihan faham dengan pelajar Tingkatan Lima, seorang remaja berusia 15 tahun dibelasah sekumpulan pelajar senior dalam kejadian di Taman Melawati di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi di sebuah sekolah, mangsa telah ditumbuk di bahagian dada selain dicekik dan ditendang oleh pelajar terbabit.

Menurutnya, mangsa juga diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera sekolah terbabit.

"Kira-kira jam 3 petang, mangsa telah diajak oleh lima pelajar terbabit (suspek) ke Bukit Mar Mar Kemensah sebelum dipukul dengan disaksikan sekitar 10 hingga 15 pelajar.

"Mangsa telah mengalami kecederaan di dahi, luka di kening kiri, rahang selain bengkak di tengkuk," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, punca kejadian ialah disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior Tingkatan Lima.

Katanya, kesemua yang terlibat telah dipanggil polis untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," ujarnya.

Tambah Mohamad Farouk, pihaknya memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain. -Sinar Harian