MELAKA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh mendesak pihak penganjur acara Star Vendors Foodstival Melaka 2023 membuat permohonan maaf susulan kontroversi aksi gelek mengghairahkan yang berlaku ketika penganjuran festival itu di Melaka, baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, penganjur festival itu juga perlu diharamkan daripada menganjurkan sebarang acara di negeri ini.

Katanya, ia kerana tindakan yang melampau berkenaan jelas tidak menjaga sensitiviti masyarakat negeri Melaka.

“Pihak penganjur Star Vendors di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) perlu bertanggungjawab dan aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang.

“Kami mendesak agar permohonan maaf dari pihak penganjur dan penganjur perlu di haramkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu tular di laman sosial memaparkan seorang pempengaruh bersama dua individu lain menyampaikan lagu dangdut dan memperagakan aksi gelek.

Aksi mengghairahkan itu dikatakan berlaku ketika acara Starvendors Foodstival Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu di MITC.