KOTA TINGGI: Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap kanak-kanak 2017 perlu dikaji dan disemak semula bagi membela nasib golongan kanak-kanak yang sering berdepan isu jenayah seksual atau penderaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan dalam rangka akta itu mungkin boleh dilakukan selepas melihat sebarang kekurangan atau kelonggaran dalam pelaksanaan akta itu melindungi kanak-kanak.

Beliau berkata, perkara itu bakal dibincangkan secara lanjut, menerusi perjumpaan khas bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak yang akan dibuat pada Ahad di Kuala Lumpur.

"Sepatutnya kita dapat mencari penyelesaian sebab isu ini selalu berlaku. Sebab itu saya hendak kaji semula undang-undang sedia ada.

“Kenapa perkara ini boleh berlaku? Adakah tidak ada kesedaran atau mereka menganggap kerana hendak pergi mahkamah memakan masa atau pun mereka anggap kanak-kanak beri keterangan ramai orang tidak percaya? Saya tidak pasti apa sebabnya. Ini saya akan bincang dengan NGO esok,” katanya.

Perundangan | Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak disemak semula


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pengerang di Bandar Penawar di Kota Tinggi pada Sabtu.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, antara lain yang perlu dilihat semula atau dinaik taraf adalah mahkamah khusus bagi kanak-kanak, selain pembaharuan kepada prosedur siasatan terhadap mangsa bawah umur dan pengumpulan bahan bukti.

Sementara itu, Azalina turut berkata, perlantikan baharu Pesuruhjaya Kanak-Kanak diharap dapat memainkan peranan dan memberi kefahaman mendalam dalam proses undang-undang terhadap kanak-kanak.

Azalina berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam masa terdekat supaya program kefahaman umum tentang kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diperjelaskan di peringkat sekolah rendah dan menengah.