Sudah tiba masanya reformasi sistem penyaluran dana politik yang lebih telus dilaksanakan.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menegaskan perlunya undang-undang baharu, Akta Parti Politik untuk mengurus tadbir dana parti politik bagi mengelak isu penyelewengan.

Cadangan pembentukan undang-undang komprehensif itu termasuk mewajibkan semua dana politik disalurkan melalui akaun parti dan bukannya akaun individu.

"Setiap dana politiik hendaklah dimasukkan terus ke dalam akaun parti politik, bukan akaun persendirian. Bagaimanapun kebanyakan ahli politik tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mereka masih lagi masuk dana ke dalam akaun persendirian," katanya kepada Astro AWANI.

Bukan sahaja itu, jelasnya, malah sumber dana berkenaan sewajarnya diaudit oleh badan bebas.

"Kita hendak pastikan jumlah dana yang diberi oleh seseorang atau suatu organisasi hendaklah diaudit secara profesional. Langkah ini akan memberi kesan yang baik bukan sahaja kepada parti politik tetapi demi kepercayaan rakyat."

Selain itu, Akhbar berkata akta sedemikian akan juga mengawal selia aktiviti pilihan raya dan parti politik bagi memastikan tadbir urus yang baik.

"Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan perbelanjaan maksima kempen pilihan raya bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah RM100,000 dan RM200,000 bagi Ahli Parlimen. Bayangkan ketika pilihan raya lepas, perbelanjaan berganda-ganda lebihnya.

"Ini telah melanggar Akta SPR tetapi masalahnya, kita tidak melihat adanya penguatkuasaan undang-undang dan kita tidak tahu siapa yang patut menguatkuasakannya," katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa supaya pindaan dilakukan ke atas Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 agar ia membolehkan badan penguatkuasa itu mengeluarkan notis mengarahkan mana-mana ahli politik atau kakitangan awam yang disyaki terlibat rasuah untuk mengisytiharkan harta.

"Apabila peruntukan digubah di bawah Sekyen 36, SPRM boleh keluarkan notis kepada sesiapa yang disyaki hidup mewah dan mempunyai harta lebih untuk mengisytihar harta dan memberitahu bagaimana harta itu diperoleh, sama ada secara sah atau tidak."

Mengulas tentang kaedah mengisytiharkan harta, Akhbar menyaran agar kuasa diberikan kepada SPRM atau wujudkan agensi khusus bagi mengumpul maklumat ahli politik mahupun kerajaan untuk melakukan perbandingan berhubung harta yang dikumpul sebelum dan ketika berkhidmat serta selepas bersara.

Ketika ini, dalam badan eksekutif, semua menteri Kabinet perlu mengisytiharkan aset kepada Perdana Menteri, namun Akhbar berpandangan maklumat itu wajar dijadikan pengetahuan umum.

"Ramai ahli politik yang memberi alasan tidak bersetuju berikutan keselamatan mereka tidak dijamin sekiranya mengistiharkan harta secara terbuka. Tetapi setiap tahun kita melihat ada orang kaya tersenarai tetapi tiada masalah pun. Jadi alasan faktor keselamatan yang diberi ahli politik itu adalah tidak tepat," tambahnya.

Tinjauan Barometer Rasuah Malaysia tahun lalu menunjukkan ahli politik dianggap sebagai kelompok paling korup, diikuti polis dan kakitangan awam.